
Ada yang menyatakan Microsoft mula panik dengan kegagalan Windows Vista menyebabkan mereka mahu memperkenalkan Windows 7 walaupun Vista baru setahun jagung berada di pasaran.
Windows 7 dijangka menemui pengguna awal tahun depan pada asalnya dikenali dengan kod Blackcomb dan Vienna yang dikeluarkan menerusi dua versi iaitu kepada pengguna dan pelayan.
Kali ini, Microsoft menjanjikan kelainan untuk OS Windows 7 dengan mengatakan ia jauh terhandal serta penuh inovasi.
Mungkin Microsoft terpaksa mengakui pengguna seluruh dunia lebih sayangkan Windows XP namun berdasarkan maklum balas orang ramai, Microsoft menjadikannya jauh lebih baik termasuk keupayaan penukaran program sehingga merekod televisyen.
Ia dikatakan memudahkan pelayaran komputer peribadi (PC) serta keupayaannya berhubung dengan dunia lain.
Microsoft bersedia memperkenalkan kemuncak generasi perisian akan datang yang direka bagi mengatasi rungutan mengenai perisian OS Vista keluarannya yang memberikan persaingan kepada pesaing utamanya, Google.
Versi Windows 7 yang sedang dibangunkan itu dipertontonkan di California pada satu Persidangan Pembangun Profesional mengandungi beberapa sesi yang mana pakar perisian boleh mendapatkan gambaran mengenai sistem operasi Microsoft yang akan datang.
Windows 7 mempunyai ciri yang memudahkan tugasan harian antaranya:
1. Taskbar diperbaharui dengan previu skrin penuh
Taskbar yang terletak di bahagian bawah skrin digunakan untuk melancarkan program dan menukarnya apabila ia dibuka. Ini bermakna anda akan dapat melihat visual ikon dipilih sebelum membukanya.
2. Pembaharuan desktop
Ia memberi peluang kepada anda menyusun ikon di permukaan skrin termasuk membukanya, menutup, mengubah saiz dan mengemaskininya.
3. Carian Windows
Windows 7 memudahkan carian subjek dalam PC dengan membahagikannya mengikut segmen tertentu seperti dokumen dan muzik dengan satu klik saja.
4. Internet Explorer 8
Semestinya ia diperbaharui bagi memudahkan pelayaran 'online' pantas seperti alamat bar, carian, 'tabs' dan bar 'Favorites.'
5. Pengurusan perkakasan lebih baik.
Kalau dulu, sebarang ikon di My Computer agak 'kosong' tanpa grafik namun dengan keupayaan Windows 7 baru, ia mampu mengecam perkakasan yang disambungkan ke PC.
Microsoft juga berusaha mengenal pasti keupayaan prestasinya yang dipertingkat menerusi Windows 7 agar ia tidak berkompromi dengan kehendak pengguna.
Melalui sistem baru di bawah Windows 7, PC akan dibuka, ditutup, bersedia dan memberi respons dengan pantas yang mendapat maklum balas daripada pengguna sebelum ini.
Selain itu, ia jauh berbeza dengan Windows XP apabila Microsoft memajukan jangka hayat bateri dengan menambah sistem penjimatan tenaga untuk kecerahan paparan dan penggunaan tenaga minimum untuk memainkan pemain DVD.
Kali ini, Microsoft juga mahu mengurangkan sistem amaran membabitkan 'pop-up' memberi ingatan kepada pengguna walaupun ia tidak serius berbanding pop-up yang sering terpampang.
Bagai bulan jatuh ke riba apabila mendengar ciri hiburan menggunakan Windows 7 yang bersedia untuk menampilkan fungsi ajaibnya terutama membabitkan televisyen menggunakan PC, filem dan video.
Ia membabitkan penukaran besar-besaran antaramuka hiburan yang memberi impak kepada emosi pengguna ketika berhibur.
Tidak dilupakan, Windows 7 dijangka akan menitikberatkan fungsi skrin sesentuh yang kian didapati dalam mana-mana perkakasan di dunia ini menjadikannya lebih mesra pengguna.
Kehadiran Windows 7 bertepatan dengan aplikasi sentuhan seperti hasil kajian menyentuh hubungan antara pengguna dan mesin yang dijelaskan secara disiplin ilmu dalam Interaksi manusia-komputer (Human-Computer Interaction-HCI).
Ia mengkaji komunikasi atau interaksi antara pengguna dengan sistem termasuk berkaitan UI serta skrin sesentuh.
Model interaksi antara pengguna dengan sistem membabitkan tiga komponen iaitu pengguna, interaksi dan sistem itu sendiri.
Interaksi terbabit mewujudkan sistem yang mudah digunakan, memberi keselesaan kepada pengguna, mudah dipelajari dan sebagainya.
Satu kajian terpenting dalam bidang HCI adalah UI yang menjadi sebahagian sistem yang akan dikendalikan oleh pengguna untuk mencapai dan melaksanakan fungsi sesuatu sistem.
Tidak dinafikan juga ia dianggap sebagai jumlah keseluruhan keputusan reka bentuk.
Sistem UI yang membabitkan skrin sesentuh menggabungkan elemen komunikasi apabila pengguna boleh berinteraksi dengan produk terbabit melaluinya seperti ditonjolkan Windiws 7 kelak.





