
Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, Gmail mengalami pelbagai perubahan yang bertujuan mengetengahkan pengalaman e-mel mengagumkan. Berikut antara ciri Gmail yang mungkin tidak diketahui.
1. Berbual melalui suara atau video
Ia direka untuk menambah kualiti komunikasi yang tidak terhad kepada teks semata-mata. Pengguna boleh menetapkannya dengan memindah turun aplikasi terbabit di http://gmail.com/videochat.
2. Penetapan fungsi tapisan
Fungsi terbabit membenarkan pengguna mengawal inbox dengan menetapkan 'create a new filters' pada ruangan 'Settings' yang membolehkan Gmail menyusun fail anda secara automatik.
3. Gunakan Gmail walaupun tanpa sambungan Internet.
Ada situasi yang memerlukan kita membuka e-mel bagi mendapatkan maklumat namun terpaksa online contohnya, ketika mengakses e-tiket dalam kereta api yang tiada sambungan Internet.
Gmail mengubah senario ini menerusi Offline Gmail yang mampu diakses pada ruangan Settings pengguna.
4. Senaraikan apa yang perlu dibuat melalui Tasks.
Kebanyakan kita sering terlupa terutama perkara kecil seperti peringatan membayar bil atau senarai barang yang perlu dibeli.
Melalui ikon Tasks, senaraikan keperluan sebagai ingatan, malah ia turut mampu diakses menggunakan telefon bimbit.
5. Perbaharui carian e-mel.
Katakan pengguna mahu mencari e-emel daripada rakan bernama Ali, taipkan perkataan terbabit pada ruangan 'Search' dan anda akan mendapat senarai e-mel yang berkaitan.
6. Sentiasa berhubungan
Gmail mudah alih boleh diakses pada kebanyakan perkakasan dengan lebih 35 bahasa.
7. Susun inbox dengan label berwarna
Kalau pengguna sentiasa pening dengan fail yang berlambak dalam akaun, tandakannya melalui warna yang disukai.
8. Pilih tema berwarna untuk inbox
Mungkin ada yang bosan dengan antaramuka e-mel biasa didapati namun menerusi Gmail, pengguna boleh mengubah dengan pilihan tema serta warna melebihi 30 rekaan.
9. 'Surat balasan elektronik' tersedia.
Pada suatu ketika, kita akan malas membalas e-mel dengan teks yang sama namun melalui 'Canned Responses', pengguna boleh menyiapkan teks terlebih dulu sebelum menyimpannya untuk dihantar dengan kerap.
10. Hentikan menghantar e-mel yang membuatkan anda menyesal di kemudian hari.
Kadang-kadang, kita akan menaip e-mel dalam keadaan mengantuk sehingga tidak sedar apa yang ditaip, tetapi menyesal sebaik e-mel dihantar kerana ia tidak menepati kehendak asal.
Menerusi Mail Goggles, pengguna boleh menetapkan tarikh dan masa sebelum menghantar e-mel diingini.





